ULTRASOUND
Apakah itu skan ultrasound?
Skan ultrasound melibatkan penghantaran bunyi frekuensi tinggi melalui uterus. Bunyi itu melantun dari bayi dan gema yang melantun kembali itulah yang diterjemah oleh komputer untuk menghasilkan imej atas skrin yang menampakkan posisi dan pergerakan bayi. Tisu keras seperti tulang memantul gema yang sangat besar yang menjelma sebagai warna putih dalam imej, dan tisu lembut kelihatan kelabu dan berbintik. Bendalir (seperti bendalir amnion dalam mana bayi terapung) tidak memantul sebarang gema, jadi kelihatan hitam. Perbezaan-perbezaan dalam kegelapan warna imej yang berlainan antara warna putih, kelabu dan hitam itulah yang membolehkan pakar obstetrik anda menginterpretasikan gambar skan. Kebanyakan ibubapa menunggu skan dengan gembira sebab ianya memberi imbasan bayi mereka buat pertama kali. Doktor anda mungkin memberikan anda salinan cetak imej bayi anda untuk kenang-kenangan. Namun begitu, adalah penting untuk mengingati bahawa tujuan utama skan itu bukanlah untuk mendapatkan foto pertama untuk album bayi anda, atau untuk mengetahui jantina bayi. Ia adalah untuk menentukan samada bayi anda membesar dan berkembang secara normal.
Untuk apakah skan ultrasound?
Tertakluk kepada peringkat kehamilan anda semasa ianya dilakukan, skan ultrasound boleh:
Memeriksa jantung bayi untuk mendengar denyutannya.
Menentukan samada anda mengandung satu bayi atau lebih.
Mengesankan kehamilan ektopik, di mana embrio tertanam di luar rahim, selalunya dalam tiub Fallopio.
Menentukan punca sebarang pendarahan yang anda sedang alami.
Menetapkan tempoh kehamilan anda dengan mengukur panjang bayi.
Menilai risiko sindrom Down dengan mengukur bendalir di belakang leher bayi pada 11 minggu hingga ke 13 minggu termasuk enam hari (apa yang dikatakan skan lut chaya nuka atau nuchal translucency scan).
Menentukan mengapa keputusan ujian saringan darah tidak normal.
Membantu dalam membuat ujian diagnostik dengan selamat, seperti CVS atau amniosentesis sebab ianya dapat menunjukkan posisi bayi dan plasenta.
Memeriksa bayi untuk menentukan yang semua organ telah membesar secara normal.
Mendiagnosis beberapa ketaknormalan, sepertispina bifida.
Menilai bendalir amnion yang ada dan menetapkan kedudukan plasenta.
Mengukur kadar pertumbuhan bayi dengan melakukan beberapa skan.
Bolehkah skan memberitahu jantina bayi saya?
Boleh, jika usianya 18 minggu atau lebih, tetapi, jika bayi anda terletak dalam posisi yang kekok, mungkin sukar juga untuk menentukannya. Bacalah lebih lanjut tentang menggunakan skan ultrasound untuk menentukan jantina bayi anda.
Bagaimanakah skan itu dilakukan?
Jika anda melakukan skan semasa kehamilan awal (bacalah lebih lanjut tentang skan semasa trimester pertama), anda perlu minum beberapa gelas air terdahulu supaya pundi kencing anda menolak uterus keluar dari pelvis, justeru membolehkan doktor mendapatkan gambar bayi yang jelas. Dia akan menyapu gel di atas perut anda dan akan mengerakkan transduser tangan yang kecil merata-rata kulit anda untuk mendapatkan gambaran bayi yang jelas. Jika bayi anda berada terlalu dalam di dalam uterus anda, atau jika anda berlebihan berat badan, imej-imej itu tidaklah berapa jelas, jadi skan vagina mungkin perlu. Transduser vagina adalah panjang dan kurus supaya sesuai dimasukkan ke dalam vagina. Doktor akan menggunakan sarung (sama seperti kondom) dan akan menyapukan banyak gel padanya supaya licin dan senang masuk. Tidak perlu untuk memasukkannya terlalu dalam, dan ianya tidak akan membahayakan bayi anda langsung. Skan vagina memberikan gambar bayi anda yang lebih jelas, terutama sekali pada peringkat awal kehamilan.
Sakitkah apabila melalui ultrasound?
Skan abdomen tidaklah sakit tetapi anda terasa kurang selesa apabila transduser ditekan ke atas perut sebab pundi kencing tersangat penuh. Pundi kencing penuh tidak perlu untuk skan jika kehamilan sudah lanjut. Yang baik tentang skan vagina ialah ianya paling efektif dijalankan dengan pundi kencing yang kosong, jadi kebanyakan wanita mendapati ianya lebih selesa daripada skan abdomen.
Bilakah skan dijalankan?
Panduan Kementerian Kesihatan mengesyorkan skan setiap empat minggu sampai minggu ke 28. Kemudian anda akan diskan dua minggu sekali sehingga bulan terakhir, apabila anda akan di skan setiap minggu. Adalah disyorkan agar semua wanita hamil menjalankan skan penentuan tarikh pada trimester pertama – sebaik-baiknya semasa hamil minggu 10 hingga 13 – untuk mengesahkan tarikh mengandung. Ini amat penting jika anda berhajat membuat ujian saringan untuk sindrom Down, sebab mengetahui tarikh sebenar menjaminkan keputusan yang tepat.
Bagaimana jika skan menunjukkan masalah?
Anda sudah tentu akan bimbang jika skan menunjukkan kemungkinan terdapat masalah pada bayi anda. Kadangkala diagnosis yang tepat boleh dibuat daripada skan, seperti spina bifida. Dalam kes-kes lain, skan boleh menunjukkan perubahan kecil, yang diberi nama marker atau tanda-tanda, yang mungkin merupakan petanda masalah yang lebih serius, seperti sindrom Down, atau mungkin juga hanya merupakan variasi sesuatu yang normal. (Bacalah lebih lanjut tentang marker ultrasound.) Jika doktor anda mendapati sesuatu yang luar biasa apabila melakukan skan, dia mungkin akan merujukkan anda kepada pakar perubatan fetus. Doktor ini pula mungkin perlu melakukan ujian lanjut seperti CVS atau amniosentesis untuk melihat samada kromosom bayi normal atau sebaliknya. Sekiranya terdapat kemungkinan yang bayi anda memang mempunyai masalah kesihatan yang serius, anda akan memerlukan masa dan sokongan untuk memikirkan pilihan yang terbuka bagi anda.
Adakah ultrasound selamat?
Ultrasound sudah digunakan dalam rawatan kehamilan selama hampir 30 tahun dan penyelidikan perubatan mendapati tiada kesan sampingan berkaitan dengannya. Tiada dapatan yang boleh mengaitkan pendedahan kepada ultrasound dengan masalah berat bayi masa lahir, leukemia kanak-kanak atau lain-lain kanser, maupun masalah penglihatan, pendengaran atau disleksia. Bacalah lebih lanjut tentang skan dan keselamatan.
SUMBER DARIPADA BABY CENTER