top of page

>PUASA DAN PERUBATAN<


Pengertian puasa Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat. Dalil Wajib puasa Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan bersandarkan dalil seperti berikut: Al-Quran: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. Hadis: Maksudnya: Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda; Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allahh, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sehubungan dengan adanya dalil daripada Al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpusa adalah dihukum sebagai murtad(keluar daripada Islam) Lafaz Niat

Doa buka puasa اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت Maksudnya: Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan Syarat wajib puasa Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu: 1. Islam : Tidak diwajibkan kepada orang kafir. 2. Baligh: Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa 3. Berakal : Tidak diwajibkan puasa bagi orang gila. 4. Berkemampuan: Tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya. Syarat-syarat sah puasa Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara: 1. Islam: Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal 2. Berakal: Orang Gila tidak sah puasanya 3. Suci daripada nifas dan haid 4. Masuk waktu puasa 5. Berniat pada setiap malam: Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadhan. 6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa. Rukun Puasa 1. Orang yang berpuasa 2. Niat 3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa. Perkara yangmembatalkan puasa Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi: 1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi. 2. Muntah dengan sengaja 3. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja 4. Keluar darah haid atau nifas 5. Gila (hilang akal) 6. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari. 7. Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah) 8. Murtad (keluar dari Islam) 9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja). Mereka yang diizinkan berbuka Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka: 1. Orang yang sakit . 2. Orang yang berkerja buruh. 3. Orang yang dalam musafir (perjalanan). 4. Orang tua yang sudah lemah. 5. Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Hikmah Puasa Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya: 1. Menandakan kesyukuran kepada Allah 2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah(terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya. 3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain 4. Meningkatkan kesihatan diri. 5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka(hari raya) dan ketika berjumpa dengan tuhannya pada hari kiamat. 6. Menjauhkan dari sifat-sifat Mazmumah(keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya. Kelebihan Ramadhan Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya; 1. Bulan diturunkan Al-Quran Maksudnya: Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia 2. Bulan penuh berkat Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api neraka. "Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga, dihapuslah pintu-pintu neraka dan di ikatlah semua syaitan. 3. Bulan Penghapusan dosa Maksudnya: Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. . 4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka untuk mengutus segala urusan. Sejahteralah(malam) sehingga terbit fajar.

Kaedah Perubatan Moden berhubung Perkara Yang Membatalkan Puasa

Beberapa rawatan yang melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga telah diputuskan oleh para fuqaha’ kontemporari. Fatwa ini turut dikeluarkan oleh Majlis Himpunan Fiqh Islam ke 10 yang bersidang di Jeddah, Saudi Arabia pada tarikh 23 hingga 28 Safar 1418H (bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1998M).

Kaedah rawatan moden berikut disepakati tidak bertentangan dengan hukum syarak bahawa ianya tidak membatalkan puasa;

  • 1. Ubat titis mata dan titis telinga atau pencuci telinga, dengan syarat dielak menelan hingga ke halkum.2. Ubat titis ke dalam hidung (nasal drops) atau semburan hidung, jika dielakkan menelan hingga ke halkum.

3. Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual). Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung atau menangani sesak nafas, dengan syarat dielakkan menelan hingga sampai ke tekak.

Menggunakan IUCD untuk mencegah kehamilan

4. Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj sepertivaginal suppository, pencucian atau air mandian, vaginoscopeatau jari doktor yang memeriksa pesakit (digital examination).5. Memasukkan uteroscope atauIntrauterine Contraceptive Device (IUD atau IUCD) dan selainnya ke dalam rahim.

6. Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing sama ada lelaki atau wanita seperti probe, urethroscope, barium, pencuci urethra, radio-opaque, atau ubat, larutan untuk mencuci pundi kencing.

7. Mencabut gigi, menampal gigi, cuci gigi atau gosok gigi dengan siwak atau berus gigi selagimana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

8. Semua jenis suntikan– kecuali Parenteral Nutrition dan cecair tenaga yang lain melalui saluran darah.

9. Bantuan oksigen.

10. Memberi gas pelali (bius atau anesthetic gases).

11. Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun terdapat bahan kimia yang menyerap ke dalam kulit seperti pelekat berubat pada kulit.

12. Semua jenis tiub yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana anggota badan (chateterization).

13. Memasukkan laparoscope ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

14. Semua jenis ubat kumur seperti mouth-rinsing gargle dan semburan ubat dalam mulut selagi mana tidak ditelan ke dalam halkum.

15. Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

16. Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau mana-mana anggota badan (biopsy).

17. Memasukkan apa-apa alat atau bahan rawatan ke dalam otak atau saraf tunjang.

Berikut ialah perkara yang diperselisihkan dari segi hukum membatalkan puasa atau tidak. Majoriti ulama dan pakar perubatan dalam persidangan IOMS ke 10 memutuskan bahawa pesakit tidak batal puasa dengan rawatan berikut:

Cara menggunakan Inhaler

  • 1. Ubat asma iaitu secara inhaler, turbuhaler dan rotahaler.

2. Semua jenis ubat yang dimasukkan melalui anus (dubur).

3. Operasi pembedahan yang menggunakan bius seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan. Pesakit juga tidak diberi suntikan mengandungi larutan bernutrien.

4. Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis.Manakala Majlis Himpunan Fiqh Islam dalam persidangannya ke 10 telah menangguhkan 4 perkara yang diperselisihkan di atas untuk membuat kajian lanjut. Selain 4 perkara di atas, terdapat 2 lagi perkara yang belum diputuskan secara muktamad;

  • 1. Berbekam. 2. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal atau memindahkan daripada penderma darah atau orang yang menerima darah.

Pendapat penulis secara peribadi; Hal yang diperselisihkan di atas tidak membatalkan puasa kerana ia tidak mengandungi maksud menambah tenaga kepada pesakit.

Manakala masalah berbekam, penulis cenderung kepada pendapat tidak batal puasa berdasarkan terdapat sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang berbekam dalam keadaan mereka berpuasa.

Hadis Ibnu Abbas r.a mengenai Nabi s.a.w berbekam dalam keadaan beliau berpuasa telah memansukhkan hadis yang direkodkan oleh Ibnu Majah mengenai kenyataan Rasulullah s.a.w berkenaan batalnya puasa orang yang membekam dan dibekam.

Walaubagaimana pun, dalam hal khilaf adalah lebih baik berhati-hati dengan cara mengelakkan dari melakukannya pada siang hari yakni ketika sedang berpuasa. Selagi keadaan tidak mendesak untuk melakukannya pada siang hari seperti menderma darah, maka hendaklah melakukannya pada malam hari. Dibimbangi akibat menderma darah, penderma merasa letih dan memaksanya untuk berbuka.

Begitu juga dengan bius seluruh badan, jika kesan dari bius akan menyebabkan pesakit tidak sedar sepanjang hari berpuasa, maka tidak sah puasanya dalam keadaan tidak sedar. Syarat sah puasa hendaklah dalam keadaan sihat dan sedar.

Wallahua’lam.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page